Tuesday, February 28, 2012

Dijentik Halus

Assalamualaikum.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan berlumuran darah. Melihat keadaannya, Rasulullah bertanyakan puncanya. Rupanya disebabkan terlalu asyik memandang seorang wanita yang lalu di hadapannya, dia terlanggar tembok di depannya. Akibatnya itulah dia, pulang dalam keadaan berlumuran darah. 

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kemudian bersabda maksudnya; "Jika Allah menghendaki kebaikan pada hamba-NYA, maka DIA menyegerakan hukuman baginya di dunia."

Rupa-rupanya jika Allah sayangkan seseorang hamba itu, disegerakan baginya hukuman di dunia lagi. Bersyukurlah andai sekali-sekala azab Allah disegerakan. Bukan semata-mata menghukum sebaliknya sekadar menyucikan dosanya dan hukuman berupa peringatan itu sekadar menjentik secara halus.

Itu tanda Allah sayangkan kita, sayang nak biarkan kita alpa dan lupa terhadap peringatan-NYA. Pejam mata seketika, rasailah kasih sayang Allah yang tidak bertepi. Senyumlah. Kemudian kerahlah hati, lisan, dan seluruh anggota badan agar membalas kasih sayang-NYA dengan ketaatan.

-SOLUSI 40-

Monday, February 27, 2012

Rasai kehadiran-NYA :)

Assalamualaikum.

Kadang-kadang kita mencari manusia untuk berkongsikan kelelahan kita. Tapi percayalah, semakin kita mahu mencari mereka, kadang-kadang masa tu jugalah Allah sibukkan mereka daripada mendekati kita. Itu tandanya DIA sedang cemburu. Subahanallah...Subhanallah..Subhanallah..Maha Penyayangnya DIA.

Itulah sikap kita, selalu lupa yang DIA itu sentiasa "online" dengan kita. MasyaAllah..hinanya kita kerana mencari hamba-NYA, sedangkan DIA lah satu-satunya (AHAD) Tuhan Maha Besar yang mengurus sekalian hamba makhluk di muka bumi dan seluruh jagat raya namun tak pernah sedetik pun lari dari kita jika kita mencari-NYA. DIA sangat "sibuk" menguruskan kita tapi tak pernah sedetik pun meninggalkan kita (jika dan jika kita mencari-NYA).

Percayalah, DIA memberikan hanya yang TERBAIK untuk hamba-NYA, setiap kesulitan akan dititipkan bersamanya kemudahan, dan setiap kebuntuan pasti di hujungnya ada jalan keluar. Just HAVE FAITH ! InsyaAllah. Hidup ini adalah perjuangan ^_~ 

Wednesday, February 8, 2012

Kerana APA?

Assalamualaikum.

"Sedapnya dia makan aiskrim, nak aiskrim jugaklah" . Padahal waktu itu mulut sedang mengunyah coklat yang diingini baru sebentar tadi. 

Situasi di atas sering berlaku kepada kanak-kanak. Ye, dimaklumi kanak-kanak itu masih kurang akalnya, belum baligh sifatnya. Nampak itu nak, nampak ini mahu. 

Namun, tanpa disedari, yang dewasa dan telah sempurna akalnya dan sudah baligh sifatnya juga tidak kurang yang melakukan situasi seperti di atas. Cuma bendanya sahaja yang berbeza, bukan coklat atau aiskrim yang menjadi dambaan. Benar bukan, seringkali kita mengingini sesuatu yang tidak berada di tangan sedangkan apa yang sedang ada dalam genggaman baru saja dipegang, dan belum pun "panas" . Lumrah, manusia memang tidak pernah puas sifatnya. Itulah nafsu yang mengajak kepada amal kejahatan. 

Ye, memang tidak salah berusaha mendapatkan yang lebih. Lebih baik, lebih banyak, lebih kaya, lebih pandai, lebih pendidikan, lebih bahagia (opppss! adakah "lebih" jaminan kebahagiaan?) dan bermacam-macam lagi lebih. Itu semua untuk kemajuan. Alhamdulillah. Berwawasan dan bercita-cita jauh ke depan. Semua itu tidak salah asalkan "lebih" yang dicari itu juga membawa kemajuan kepada KEIMANAN.

Setiap kemahuan dan keinginan yang ingin dicapai jangan sampai membawa kita lalai dalam memaknai kesyukuran terhadap nikmat yang sedang dalam genggaman. Moga setiap keghairahan dalam mendapatkan yang "lebih-lebih" itu tidak membawa kita kepada penyakit barah dengki dan iri hati kerana kedua-duanya itu pemusnah jasad dan rohani. 

Suka bertanya kepada hati sendiri, untuk apa dan kerana apa setiap "lebih" yang ingin dimiliki itu? Nak lebih kaya, nak lebih tinggi taraf pendidikan, nak lebih isteri, nak lebih harta, untuk apa? Kalau dasarnya adalah kerana sesuatu yang bersifat dunia, maka nikmatnya hanya membawa kepada binasa. Langsung tidak membawa kepada maksud KEMAJUAN dalam erti kata yang hakiki. Seorang mukmin, wawasan dunianya sentiasa membawa kepada kemajuan IMANnya. Setiap "lebih" yang ingin diraih tidak lain hanyalah kerana Rabb nya. Bila tepat matlamatnya, maka syar'ie jalan ke arahnya, dan baik kesudahannya, baik dunia mahupun akhiratnya. 

Jangan jadi seperti kanak-kanak, semuanya nak kerana orang lain pun ada, maka kita pun mesti ada juga. Itu namanya dengki. Bila dengki dah bersemi, maka jalan nak mendapatkannya akan tercela, natijahnya pasti sia-sia. Dan pastinya ia hanya membawa kepada keruntuhan IMAN. 

Maka, sebelum nak dapatkan apa-apa, pastikan dulu untuk apa kita mahukannya. Kerana DIA ataupun selain-NYA?

Tanda IKHLAS

Assalamualaikum.

Hari ini kami ada mesyuarat guru selepas waktu sekolah tadi. Berbincang tentang program terdekat sekolah dan segala hal yang berkaitan tentang guru dan murid-murid. 

Bukan mahu bercerita tentang isi mesyuarat tadi, tapi yang ingin dikongsi adalah tazkirah singkat yang disampaikan oleh mudirah kami sebelum memulakan mesyuarat tadi. Sepotong kata yang sangat terkesan di kalbu ini;

"Selagi masih ada rasa susah, itu tandanya belum ikhlas" 

Sentap ! Subahanallah, astaghfirullahal 'adzhim. Cuma mampu tunduk merenung lantai saat kata-kata itu melepasi gegendang telinga saya. Suatu muhasabah. Terima kasih Allah.

Wednesday, February 1, 2012

Law Kaana Bainana....

Assalamualaikum.

اللهم صل على سيدنا محمد عبدك, ورسولك النبي الأمي, وعلى آله وصحبه وسلم

Mentari 12 Rabi'ul awal bakal menjelma, insyaAllah andai ada izin usia dari DIA Yang Maha Mulia. Bersempena dengannya, ana teruja untuk me "refresh" momentum solawat kita dengan memperbanyakkan lagi bilangannya, insyaAllah, bukan untuk 12 Rabiulawal saja, malah mudah-mudahan untuk hari-hari yang ke depan juga. 

Allah dan malaikat-NYA juga bersolawat ke atas baginda, maka siapalah kita (yang hanya hamba hina dina) untuk tidak melakukannya? Ayuh, realisasikan lafaz cinta kita kepada baginda nabi sallallahu 'alaihi wa sallam. 

Dalam satu riwayat hadith, Ubay bin Kaab bertanya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam; "Aku banyak menggunakan masa untuk berdoa, memohon rahmat untuk diriku. Sekarang aku hendak peruntukan masa untuk berselawat kepada tuan, maka sebanyak mana yang elok aku peruntukan?"

Baginda menjawab; "Sebanyak yang engkau mahu."

Ubay bertanya lagi, "Apakah seperempatnya?"

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam menjawab, "Terpulanglah kepadamu. Jika engkau menambah, maka itu lebih baik bagimu."

Ubay bertanya lagi, "Kalau begitu..separuh daripada masaku?"

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam menjawab "Terpulang kepadamu. Jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu."

Ubay berkata lagi, "Kalau begitu aku peruntukkan dua pertiga daripada masaku."

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam menjawab, "Terpulang kepadamu, jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik bagimu."

Ubay berkata, "Kalau begitu aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk bersolawat kepada tuan."

Baginda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam menjawab;

"Jika demikian, terpelihara dan terselamatlah engkau daripada apa yang mendukacitakanmu dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahupun perkara akhirat dan diampunkan dosamu." 
(Riwayat At-Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Hakim)


InsyaAllah, perbanyak solawat ke atas junjungan Nabi yang kita cintai bakal menempatkan diri kita di sisinya di syurga-NYA nanti, bukankah indah? :) 


*Hm, teringat pula nasyid Law Kaana Bainana ;p


Ok, ilalliqa' ^_^