Wednesday, February 8, 2012

Kerana APA?

Assalamualaikum.

"Sedapnya dia makan aiskrim, nak aiskrim jugaklah" . Padahal waktu itu mulut sedang mengunyah coklat yang diingini baru sebentar tadi. 

Situasi di atas sering berlaku kepada kanak-kanak. Ye, dimaklumi kanak-kanak itu masih kurang akalnya, belum baligh sifatnya. Nampak itu nak, nampak ini mahu. 

Namun, tanpa disedari, yang dewasa dan telah sempurna akalnya dan sudah baligh sifatnya juga tidak kurang yang melakukan situasi seperti di atas. Cuma bendanya sahaja yang berbeza, bukan coklat atau aiskrim yang menjadi dambaan. Benar bukan, seringkali kita mengingini sesuatu yang tidak berada di tangan sedangkan apa yang sedang ada dalam genggaman baru saja dipegang, dan belum pun "panas" . Lumrah, manusia memang tidak pernah puas sifatnya. Itulah nafsu yang mengajak kepada amal kejahatan. 

Ye, memang tidak salah berusaha mendapatkan yang lebih. Lebih baik, lebih banyak, lebih kaya, lebih pandai, lebih pendidikan, lebih bahagia (opppss! adakah "lebih" jaminan kebahagiaan?) dan bermacam-macam lagi lebih. Itu semua untuk kemajuan. Alhamdulillah. Berwawasan dan bercita-cita jauh ke depan. Semua itu tidak salah asalkan "lebih" yang dicari itu juga membawa kemajuan kepada KEIMANAN.

Setiap kemahuan dan keinginan yang ingin dicapai jangan sampai membawa kita lalai dalam memaknai kesyukuran terhadap nikmat yang sedang dalam genggaman. Moga setiap keghairahan dalam mendapatkan yang "lebih-lebih" itu tidak membawa kita kepada penyakit barah dengki dan iri hati kerana kedua-duanya itu pemusnah jasad dan rohani. 

Suka bertanya kepada hati sendiri, untuk apa dan kerana apa setiap "lebih" yang ingin dimiliki itu? Nak lebih kaya, nak lebih tinggi taraf pendidikan, nak lebih isteri, nak lebih harta, untuk apa? Kalau dasarnya adalah kerana sesuatu yang bersifat dunia, maka nikmatnya hanya membawa kepada binasa. Langsung tidak membawa kepada maksud KEMAJUAN dalam erti kata yang hakiki. Seorang mukmin, wawasan dunianya sentiasa membawa kepada kemajuan IMANnya. Setiap "lebih" yang ingin diraih tidak lain hanyalah kerana Rabb nya. Bila tepat matlamatnya, maka syar'ie jalan ke arahnya, dan baik kesudahannya, baik dunia mahupun akhiratnya. 

Jangan jadi seperti kanak-kanak, semuanya nak kerana orang lain pun ada, maka kita pun mesti ada juga. Itu namanya dengki. Bila dengki dah bersemi, maka jalan nak mendapatkannya akan tercela, natijahnya pasti sia-sia. Dan pastinya ia hanya membawa kepada keruntuhan IMAN. 

Maka, sebelum nak dapatkan apa-apa, pastikan dulu untuk apa kita mahukannya. Kerana DIA ataupun selain-NYA?

No comments:

Post a Comment